lagu sekolah

20 June 2010

Mansuh UPSR, PMR: Kerajaan Diminta Buat Kajian Teliti

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN - MSTAR

PETALING JAYA: Kerajaan diminta membuat kajian secara terperinci dan mendapatkan pandangan daripada pihak yang berkepentingan sebelum memansuhkan peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaiaan Menengah Rendah (PMR).
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata Kementerian Pelajaran perlu memastikan bahawa pelajar di sekolah rendah mahir dalam 3M (membaca, menulis dan mengira) sebelum memansuhkan dua peperiksaan awam berkenaan.
"Saya menyokong langkah kerajaan mahu menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR. Namun harus diingat, kementerian perlu pastikan 100 peratus pelajar di peringkat sekolah rendah menguasai kemahiran 3M ini, selepas itu barulah kerajaan boleh mansuhkan dua peperiksaan awam yang dilihat berorientasikan peperiksaan semata-mata.
"Pelajar perlu didedahkan dengan kemahiran seperti membuat kerja kursus yang mampu merangsang minda kerana ia secara tidak langsung mampu melahirkan pelajar yang lebih kreatif dan inovasi,” katanya kepada mStar Online hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan bahawa KPM mungkin akan memansuhkan UPSR dan PMR dan mengekalkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sebagai peperiksaan awam tunggal pada masa hadapan.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dilaporkan berkata kerajaan melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.
Beliau berkata peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.
Katanya pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya.
Mengulas lanjut isu berkenaan, Mohamad Ali berkata, sekiranya perkara itu dilaksanakan kementerian perlu mengadakan ujian penilaian yang setanding dengan peperiksaan awam itu bagi menilai pencapaian pelajar di peringkat sekolah.
"Peperiksaan yang dijalankan di sekolah perlu dipantau agar ia selaras dengan standard peperiksaan awam sedia ada.
"Soalan berbentuk objektif perlu dikurangkan kerana ia tidak dapat menilai kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis seseorang pelajar itu," ujarnya.
Beliau berkata dengan mengaplikasikan kaedah itu, ia secara tidak langsung dapat menilai secara menyeluruh sama ada seseorang pelajar itu mampu mengaplikasi apa yang dipelajarinya di sekolah.
"Sekiranya semua perkara ini diambilkira barulah kerajaan wajar menghapuskan kedua-dua peperiksaan awam sedia ada dan kekalkan hanya SPM di peringkat sekolah menengah,” katanya.




No comments: